Monday, May 19, 2008

Dari Selangor Today

14 Mei 2008

Dalam taklimat pada Seminar Khas bagi Ahli-Ahli Yang Berhormat (YB) Dewan Undangan Negeri Selangor, dan pasangan, pada Khamis, 8 Mei 2008, bersamaan 2 Jamadil Awal 1429, para peserta diberitahu tentang sejarah, carta dan data pentadbiran awam Negeri Selangor.

Taklimat tersebut bertujuan memberi maklumat terkini kepada YB-YB Pakatan Rakyat, yang didirikan PKR, PAS, DAP. Malah taraf ‘YB bermaklumat’ memang bertepatan bagi majoriti YB Pakatan Rakyat (PR) yang buat pertama kalinya terlibat dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, yang bermula pada 21 Mei 2008.

PR berjaya membentuk kerajaan di Selangor pada 9 Mac 2008, selepas menang majoriti bagi kawasan dewan undangan negeri (DUN) Selangor pada PRU-12.

Jawatan Menteri Besar (MB) Selangor, lantas disandang YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim, calon PKR bagi DUN Ijok. Maka dalam catatan sejarah, Tan Sri Khalid, Menteri Besar Selangor ke-14.

Daripada segi geografi, Selangor berkeluasan 791,669 hektar persegi. Menurut anggaran 2008, penduduk Selangor seramai 5,071 juta orang, tidak termasuk pendatang asing, dianggar lebih 1.5 juta orang.

Bagi memudahkan pentadbiran, negeri Selangor dijadikan sembilan daerah, dan setiap satunya diterajui Pegawai Daerah: Sabak Bernam, 99,714 hektar, 136.100 orang; Kuala Selangor, 117,844 hektar, 197.100 orang; Klang, 62,678 hektar, 789.300 orang; Petaling, 62,678 hektar, 789.300 orang.

Keluasan Kuala Langat, 85,775 hektar, 236.500 orang; Sepang, 55,551 hektar, 138.400 orang; Hulu Langat, 82,620 hektar, 1,060.200 orang, Gombak, 65,008 hektar, 658.200 hektar; Hulu Selangor, 174,047 hektar, 182.800 orang.

Kronologi pusat pentadbiran moden Selangor bermula pada awal abad ke-18. Dari 1766-1857, pentadbiran berpusat di Kuala Selangor, dan tertumpu pada istana. Dari 1857-1874, pusat pentadbiran dipindahkan ke Kuala Langat.

Dari 1874-1880, pusat pentadbiran dipindahkan ke Klang, iaitu apabila penjajah British mengambil alih pentadbiran dengan mengenalkan sistem residen.

Dari 1880-1978 pusat pentadbiran Selangor berpusat di Kuala Lumpur. Dalam tempoh tersebut, iaitu pada 1947, buat pertama kalinya jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) diwujudkan. Pada 1949 pula, buat pertama kalinya jawatan MB Selangor diwujudkan.

Sejak 1978, pentadbiran Selangor berpusat di Shah Alam, yang sejak 2004 dinaik taraf menjadi bandar raya. DYMM Sultan bersemayam di Istana Keyangan, manakala kediaman rasmi MB, di Bukit Megawati.

YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim, MB Selangor yang ke-14, manakala SUK sekarang, yang ke-28, disandang Yang Berhormat Dato’ Ramli bin Mahmud.

Era YAB Tan Sri Khalid menjadi MB Selangor ke-14, bermula pada 13 Mac 2008, selepas menerima watikah daripada DYMM Sultan Selangor, dalam istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan MB Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Mantan MB praPRU-12, Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo, ADUN Sungai Panjang, yang kini mengetuai “barisan pembangkang” diwakili YB-YB Umno, MIC dan MCA dalam Sidang ADUN kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Khalid.

Justeru itu, YAB Tan Sri Khalid bersama YB-YB PR, serta seluruh jentera PR, beserta ahli-ahli, para penyokong dan rakyat, kini mesti bersama berusaha bersungguh-sungguh bagi mengekalkan tampuk kerajaan di Selangor. Hatta, selepas beberapa PRU!

Misi Kerajaan Selangor; untuk mentadbir dan menguruskan negeri maju melalui perkhidmatan yang mesra, mudah, cepat dan tangkas selaras dengan tuntutan pelanggan. Visi Kerajaan Selangor; untuk menjadikan Selangor negeri idaman, maju dan sejahtera.

DYMM Sultan Selangor, merupakan “payung” organisasi Kerajaan Negeri Selangor, yang meliputi Perundangan, Eksekutif, dan Kehakiman.

Organisasi Negeri Selangor mengandungi Dewan DiRaja Selangor, dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang mengendali kakitangan kerajaan pusat yang berkhidmat dengan kerajaan negeri. Organisasi Perundangan mengandungi Dewan Undangan Negeri. Organisasi Eksekutif mengandungi Dato’ Menteri Besar, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Organisasi Kehakiman mengandungi mahkamah tinggi, mahkamah sesyen, majistret dan mahkamah syariah.

SUK Selangor menerajui organisasi pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Dalam kekuasaan SUK terdiri Jabatan Kerajaan Negeri, Badan Berkanun, Pentadbiran Daerah, Kerajaan Tempatan, Agensi Persekutuan, dan Syarikat Negeri.

Sebagai peneraju kerajaan yang ada kuasa politik, MB Selangor, berhak “merombak” atau “mengganti” para petugas, terutama “ketua” di semua organisasi bukan agensi Persekutuan, waima mengganti Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor!

Itu pun, jika Tan Sri Khalid, MB Selangor sekarang, mahu bertindak secara agresif, sebagaimana sepatutnya bagi mana-mana parti yang berjaya membentuk kerajaan baharu!

Jika menurut keutamaan, Tan Sri Khalid lebih mudah “merombak” tenaga kerja dalam organisasi Badan Berkanun Negeri (antaranya terdiri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor , Muzium Negeri, Yayasan Selangor, dan Lembaga Urus Air Selangor).

Di Pentadbiran Daerah (terdiri Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah); dan Syarikat Negeri (terdiri Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Selangor State Investment Corporation, Tourism Selangor Sdn Bhd).

Apa-apa tindakan yang bakal dilakukan Tan Sri Khalid, selaku MB, memang berjustifikasi. Beliau hanya perlu menukar ketua eksekutif (CEO) agensi dan syarikat tertentu.

“Bagi kakitangan kerajaan dan agensi atau syarikatnya, kita hanya perlu menukar ketua atau bos teratas. Kakitangan bawah biasanya mudah memberi “setia” kepada ketua, dalam tempoh singkat.” Demikian, Tan Sri Khalid memberikan tip pentadbiran yang menyangkut usaha mengganti ketua-ketua jabatan di Selangor, jika beliau sudah membuat keputusan melakukannya dalam tempoh terdekat.

Benar. Tindakan Tan Sri Khalid memang ditunggu-tunggu oleh sebilangan petugas di Bangunan SUK mahupun oleh jutaan penyokong PR di seluruh Selangor.

Setiap hari, ada sahaja desakan dan harapan daripada pelbagai lapisan rakyat agar MB Selangor sekarang “menunjukkan taring” sebenar beliau.

“Tan Sri Khalid tak perlu terikat dengan gaya pentadbiran ketika beliau CEO di PNB atau Guthrie dahulu. Ini politik. Beliau mesti segera menukar ketua-ketua atau petugas lain dengan menggunakan kuasa
politik beliau selaku MB Selangor. Dulu, MB-MB Umno pun begitu. Tak sempat-sempat dah tukar orang.” Jelas dua veteran Umno.

Demikian, antara keluhan dan keprihatinan rakyat terhadap tindak tanduk MB Selangor sekarang.

Bagi kebanyakan petugas di Bangunan SUK pula, sejak tiga tahun lalu mereka sebenarnya “membenci” tindak tanduk mantan barisan peneraju kerajaan negeri.

“Dalam pentabiran dulu budaya terima ‘envelop’ memang perkara biasa. Dalam envelop ada duitlah.” Kata kakitangan SUK yang baru bersara.

“Di kawasan pengundi, ada wang ada kerja; ada wang ada penyokong. Semua main tabur wang dalam apa-apa hal. Tak bagi duit, bagi telur ayam sedozen sorang, atau bagi kain, bagi basikal. ” Kata mak cik di Pasir Panjang.

“Dalam pilihan raya olok-olok sebelum PRU-12, sesiapa turun mengundi diberi RM5 seorang. Sesiapa yang tumpangkan orang dapat RM50 untuk minyak kereta atau motor.” Kata pak haji di Tiram Jaya.

Ternyata, majoriti rakyat Selangor berasa lega sebaik-baik sahaja Tan Sri Khalid selesai angkat sumpah jawatan MB Selangor pada 13 Mac 2008.

Tan Sri Khalid kini perlu dikelilingi petugas baharu yang pastinya condong ke dasar dan kehendak Pakatan Rakyat. Tan Sri Khalid boleh memberi kepuasan kepada petugas sedia ada yang sudah lama “meluat” dengan kumpulan peneraju yang bukan sahaja “menyalahguna kuasa”, tetapi juga “menjadi musuh dalam selimut” Pakatan Rakyat.

“Masih banyak ketua dan kakitangan yang setia dan memuja kerajaan Umno/BN yang sudah terbiasa dengan gejala rasuah, kronisme dan nepotisme”. Jelas sahabat yang pernah bertugas sebagai “pengarah” agensi kerajaan pusat, beribu pejabat di Shah Alam.

Siapakah antara peneraju agensi atau syarikat milik kerajaan negeri Selangor yang mesti segera “ditukar” Tan Sri Khalid?

Ketika artikel ini disiapkan, saya sempat membaca tiga artikel bloggers mengenai MB Selangor,Tan Sri Khalid. Turut mencambahkan idea saya, tiga mesej ringkas (sms) daripada sahabat di Kuala Selangor,
Taman Sri Muda dan Shah Alam.

Mesej yang dari Kuala Selangor, lebih tegas, ringkas dan persuasif sifatnya. Mesej tersebut berharap Tan Sri Khalid segera menukar peneraju organisasi pentadbiran negeri Selangor sekarang! Orang ini
ibarat “gunting dalam lipatan”, ayat mesej.

Mesej dari Kuala Selangor juga menceritakan YDP Majlis Daerah itu tidak gembira dengan program Foram Perdana diadakan di stadium utama dengan alasan rumput rosak. Dia terlupa yang datang itu juga adalah pembayar cukai yang dikutip oleh Majlis Daerah. Jelas sekali pegawai seperti ini perlu disekolahkan semula.

Ketika menjamu selera di kafeteria SUK, tiga petugas taraf kumpulan “B” dan “C”, mahu saya menyampaikan kepada Tan Sri Khalid, agar segera menukar ketua-ketua dalam Bangunan SUK atau di luar Bangunan SUK. Saya hanya senyum kerana bukan saya orang yang rapat dengan Tan Sri Khalid.

“Saya ada banyak perkara mahu dicakapkan kepada MB Tan Sri Khalid. Tentang penyelewengan penjualan tanah, tentang pbt, tentang projek perumahan..”, katanya.

Menurut sumber dalam, terdapat organisasi bertaraf syarikat milik kerajaan negeri, dan badan berkanun negeri, sudah lama diterajui kumpulan orang yang “tak jujur”, sehingga menyalahguna kuasa secara
terang-terang.

Menurut mantan petugas PKNS, ada peneraju kanan badan berkanun tersebut disyaki menggunakan lebih RM40 ribu yang diragui sumbernya semasa mengadakan majlis kenduri mengahwinkan anaknya.

Seterusnya, bagi pengetahuan YB-YB PR, terdapat 20 ribu kekosongan jawatan dalam kerajaan Selangor. Sehingga 2008, kira-kira 66% jawatan sudah diisi dalam agensi negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri.

Agensi negeri yang banyak berurusan dengan rakyat di pelbagai daerah dan kawasan, iaitu kerajaan tempatan, dijangka melaksanakan sejumlah program pembangunan yang melibatkan prasarana, kemudahan awam di kampung baharu, pembangunan luar bandar, keagamaan bukan Islam,
pengawalan alam sekitar dan lesen pelelong.

Bagi prasarana dan kemudahan awam, misalnya, kerajaan tempatan dijangka mengusahakan pelaksanaan liputan telefon mudah alih di kawasan penempatan dan jalan di seluruh Selangor sehingga 90% kawasan liputan sebelum Ogos 2008.

Bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran pengurusan PBT, bahagian kerajaan tempatan dijangka membanyakkan seminar, kursus dan bengkel bagi petugas yang terlibat dalam undang-undang kecil, pengeluaran lesen dan kursus melibatkan ketua-ketua kampung.

Bahagian Sektoral dan Pembangunan Sosial pula merangka beberapa program, antaranya mensifarkan kemiskinan tegar, memodenkan pertanian, dan membangun insan berkemahiran teknikal.

Pembangunan sosial, antara lain melibatkan pembangunan wanita dan ibu tunggal, pembangunan sukan, pembangunan belia, pembangunan pelancongan dan pengukuhan perpaduan antara kaum.

Demikian, sepintas lalu maklumat mengenai situasi organisasi pentadbiran kerajaan Selangor Darul Ehsan, daripada aspek sektor awam, yang secara langsung menyelubungi batang tubuh YB-YB Pakatan Rakyat.

Untungnya, negeri Selangor mempunyai segala rupa prasarana, yang lengkap, luas dan selesa. Namun, bagi YB-YB Pakatan Rakyat, di dalam negeri termaju ini terkumpul pelbagai cabaran dan dugaan; pelbagai wajah dan lakonan; pelbagai kehendak dan kebencian; pelbagai senyuman dan cebikan.

Mujurnya, semakin banyak harapan dan kebergantungan daripada majoriti rakyat yang inginkan kehidupan bersih dan bebas daripada rasuah, gejala nepotisme dan kronisme.

Sehubungan itu, percayalah, majoriti rakyat Selangor mahukan PKR, PAS dan DAP yang membentuk Pakatan Rakyat, segera melakukan perubahan yang bakal ’sama didapat dan sama dirasa’ oleh rakyat. Mengapa? Kerajan ini adalah milik rakyat!

No comments: